Thursday, November 18, 2010

Takwa


Allah SWT telah banyak mengingatkan hamba-Nya akan Taqwa. Terdapat satu ayat yang benar-benar menghembuskan tiupan kesedaran kepada sesiapa sahaja yang masih mempunyai mata hati untuk merenungnya. Allah SWT berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” (QS. Al-Hasyr: 18)

Ayat ini khusus ditujukan hanya untuk orang-orang beriman, dimana Allah memerintahkan agar kita takut kepada-Nya dan memikirkan tentang apa yang akan dilakukan pada hari esok dan masa akan datang. Hal ini sangat penting bagi seorang muslim yang beriman, sehingga dia tidak akan membiarkan masanya berlalu begitu sahaja, apatah lagi mengisinya dengan perbuatan yang memaksiati Allah SWT, na’udzubillah min dzalik.

Oleh itu, mari kita lihat perjalanan hidup manusia. Cuba kita bayangkan bahawa kehidupan ini berjalan bagaikan satu garis yang lurus, panjang, dan tidak terputus-putus, yakni tidak berpenghujung. Garis yang sangat panjang itu dibahagikan menjadi 3 bahagian. Bahagian yang paling kecil itu berada di tengah-tengah garisan, malah ianya hanyalah sebesar titik kecil. Garis sebelumnya itu adalah garisan yang sangat panjang yang kita tidak tahu dimanakah permulaan garisan itu. Garisan yang dibahagian terakhir itu adalah garisan yang begitu panjang sehinggakan ianya tidak mempunyai pengakhiran.

Ketahuilah, bahawa garisan panjang dibahagian pertama itu adalah masa ketika kita berada di alam roh dan ketika kita berada di dalam rahim ibu. Garisan di bahagian kedua yang sangat pendek itulah yang mewakili kehidupan kita di dunia, yang menunjukkan kehidupan kita di dunia ini pada hakikatnya sangat singkat! Garisan di bahagian ketiga yang tidak berpenghujung itu pula adalah masa setelah kita meninggalkan dunia ini, masa penentuan dimana kita akan ditempatkan samada di syurga mahupun neraka. Setelah manusia mati, Jika dia gagal dalam kehidupannya di dunia, maka dia akan menderita, tersiksa, teraniaya, untuk selama-lamanya. Namun, apabila dia berhasil dalam kehidupannya di dunia, maka dia pasti akan bahagia untuk selama-lamanya.

Seharusnya kita sedar bahawa hidup ini hanyalah sekali, dan ia tidak mungkin akan dapat diulang lagi. Sekiranya seorang pelajar yang gagal di dalam peperiksaan, dia pasti akan merasakan perasaan yang malu dan sedih di atas sebab dia mensia-siakan masa lapang ketika dia mempunyai peluang untuk mengulangkaji pelajaran. Walau sedalam mana sekalipun kesedihan pelajar itu, dia masih mampu untuk berusaha kembali dan mengulang kembali peperiksaan itu sehingga dia beroleh keputusan yang cemerlang. Namun, sekiranya seseorang yang membuat banyak maksiat telah mati tanpa bertaubat dan kemudiannya dihadapkan dihadapan Allah untuk diputuskan oleh-Nya neraka, apakah dia masih boleh untuk meminta ditangguhkan keputusan itu dan kembali mengulang kehidupan di dunia sekali lagi? Ingatlah, bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia ini benar-benar singkat. Hal ini dikhabarkan oleh Allah SWT:

“Pada hari mereka melihat hari kebangkitan itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari” (QS. An-Nazi’at: 46)

Selama ini kita merasakan bahawa umur kita masih panjang lagi, kerana kita merasakan bahawa kita masih muda dan masih mempunyai masa yang lama untuk bertaubat. Sedangkan Allah mengingatkan bahawa kehidupan di dunia itu bagaikan sepetang atau sepagi sahaja, tidak sampai satu hari pun!

Rata-rata umur umat nabi Muhammad saw itu hanyalah sekitar 60 tahun sahaja. Dengan masa yang panjang sebanyak 60 tahun itu, apakah kita dapat menggunakan kesemuanya untuk beribadat? Tidak sama sekali. Maka kita harus menolaknya dengan 15 tahun dahulu ketika kita masih belum baligh dan berada di zaman kanak-kanak. Dalam tempoh masa ini, kita tidak akan dihisab. Baki sebanyak 45 tahun itu hendaklah kita tolak dengan masa kita tidur. Kebanyakan manusia itu tidur sebanyak 8 jam sehari. Di dalam sehari ada 24 jam, maka sedar tak sedar, kita sebenarnya telah menghabiskan 1/3 kehidupan kita hanya dengan tidur semata-mata! 1/3 daripada 45 tahun itu bersamaan 15 tahun. Maka kita akan menghabiskan masa sebanyak 15 tahun hanya untuk tidur. Oleh itu, mereka yang membuang masa dengan tidur tanpa melakukan pekerjaan yang bermakna itu adalah orang yang sia-sia. 45 tahun itu sekiranya ditolak 15 tahun tempoh tidur itu berjumlah 30 tahun. Maka sebenarnya kita hanya akan dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk tempoh 30 tahun ini sahaja di dunia!

Persoalannya, apakah kita benar-benar menggunakan keseluruhan 30 tahun ini untuk beribadat kepada Allah? Kebanyakan pelajar hari ini menghabiskan masa mereka dengan bermain game, internet, bola sepak, melepak, berkaraoeke, tidur di siang hari, malah melakukan maksiat melihat pornografi, melakukan pergaulan bebas (couple), merempit, dan banyak lagi kemaksiatan yang lain! Bagaimanakah keadaannya kita di akhirat kelak?

1 comments:

Shira Shafrida said...

salam eid.. semoga ketakwaan kita semakin meningkat.. insyaAllah..

http://shirashafrida.blogspot.com/2010/11/wms-2-years-giveaway.html

Post a Comment