Thursday, April 8, 2010

Menilai Kepimpinan?

Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. katanya:
Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga , prihatin terhadap suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin, dan kamu semua bertangungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.


Salam Perpaduan & Salam kerinduan buat semua. hm lama rasanya x update blog. Alhamdulillah hari ini diberi masa dan kesempatan sekejap untuk update blog. Berdasarkan hadis di atas, teringat saya atas tanggungjawab saya pada Allah, Rasul, Agama, Keluarga, sahabat dan xlupe gak tangungjawab saya dahulu sebagai MPP. Adakah terlaksana dengan betul dan tiada ragu2? Hm biarkan Allah Ya Rabb yang menentukan segala. Kini, tanggungjawab lain pula yang digalas. Menjadi ketua ekonomi dan ketua kelas. nampak remeh dan mudah, tapi pada dasarnya, ia memang menguji ketahanan fizikal, mental, emosi dan rohani. InsyaAllah sementara masa masih berbaki dan tersisa ini, akan saya gunakan sebaik mungkin peluang yang telah diberikan ini untuk membaiki serta memulihkan segalanya. Sekaligus saya dapat pengalaman walaupun saya tahu berat untuk memegang amanah ini. Bak kata seorang sahabat, "Kita x diajar untuk memilih (amanah) apa yang kita inginkan, tetapi belajarlah untuk menerima apa jua tanggungjawab yang diberikan. Mungkin kamu tidak merasa itu baik untuk kamu, padahal Allah ya Barik, Maha Perancang telah mengagendakan untuk meletakkan kamu di tempat itu." Saya merenungi sedalam-dalamnya. Syukran ya sahabat!


Kepada yang pernah berkerja bersama saya, saya mohon agar diri ini dimaafkan sekiranya saya ada kekhilafan sepanjang berkerja bersama, berlaku ketidak-adilan dalam kepimpinan saya, atau berlaku kepincangan dan salah faham selama kita bergerak kerja. Semoga Allah membalas segalanya kelak. InsyaAllah...


Contoh paling baik dan tepat apabila kita berbicara soal kepimpinan, Rasulullah s.a.w. lah yang paling dekat sekali.
Rasulullah s.a.w. digelar al-Amin sebelum dilantik menjadi Rasul. Sifat “dipercayai” yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu bukan sekadar diketahui oleh orang ramai di Mekah pada masa itu. Bahkan sifat itu sudah menjadi gelarannya. Apabila sudah mencapai tahap diberi gelaran, maka sifat itu sudah mendapat pengiktirafan. Dan kalau kita kaitkan dengan topik bicara kita tentang salah satu sifat tonggak kepimpinan iaitu al-Amin, maknanya Rasulullah s.a.w. telah diiktiraf sebagai mempunyai ciri tonggak kepimpinan.

Oleh sebab itu, kita lihat Rasulullah s.a.w. menggunakan kelebihan ini ketika mula-mula mengiklankan dakwah baginda secara terang-terangan. “Kalau aku katakan kepada kamu bahawa di sebalik bukit ini ada sepasukan tentera berkuda yang bersiap sedia mahu menyerang kamu, adakah kamu percaya?”. Sekelian yang berhimpun pun berkata, “Ya, kami tidak pernah melihat kamu berbohong”. Sehabis sahaja dialog ini, Rasulullah s.a.w. terus mengiklankan dakwahnya.

firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W dan kepada Uli Al-Amri ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah ( berselisihan ) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Kepimpinan ( leadership ) nabi Muhammad S.A.W adalah contoh ideal dan praktikal yang semestinya diikuti oleh seluruh umat. Baginda diutuskan untuk membimbing seluruh umat, wilayah kepimpinan baginda meliputi alam sejagat dan tidak dibatasi oleh sempada geografi serta tidak pula dikhususkan oleh sesuatu bangsa, kebangsaan dan negara. Dengan demikian kepimpinan baginda adalah bersifat sejagat. Firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 28 yang bermaksud:

“dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui hakikat itu”

Menjadi seorang pemimpin, maka bertambah kewajipan seseorang dan makin banyak soalannya dihadapan Allah. Oleh itu, pemimpin di dalam Islam, bukanlah menjadi rebutan. Rasulullah S.A.W telah meletakkan asas-asas supaya pemimpin itu tidak difahami sebagai keistimewaan tetapi tanggungjawab. Meskipun semakin besar tanggungjawab,semakin besar pula ganjaran baik yang disediakan Allah di hari akhirat kepada sesiapa yang melaksanakan tanggungjawab itu. Namun jika tanggungjawab itu diabaikan,maka besarlah risiko dan akibatnya di hari akhirat.

Oleh itu Rasulullah S.A.W sangat berhati-hati supaya pemimpin itu berada di tangan orang yang kuat dari segi ketaatan kepada Allah, kekuatan peribadi dan jasmani, kepintaran akal dan dihormati oleh rakyat. Baginda berhati-hati supaya jangan pemimpin itu jatuh ke tangan orang yang lemah syakhsiahnya sehingga ia lemah melawan nafsunya. Jika ia seorang yang lemah melawan nafsunya sendiri, maka ia tidak dapat mematuhi allah dan tidak terselamat dari factor-faktor kehancurtan seperti rasuah, maksiat dan lain-lain.

Abu Zar Al-Ghaffari meriwayatkan, saya berkata kepada Rasulullah S.A.W Tidakkah Tuan hendak melantik saya untuk mengetuai sesuatu urusan? Rasulullah S.A.W menepuk bahu saya dan berkata,” wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Di hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan yang ditentukan di dalamnya”.

Abu Zar bukanlah seorang yang tidak taat kepada Allah dan dikuasai nafsu tetapi dia adalah seorang manusia yang lemah dalam mengambil tindakan, dia adalah seorang yang lurus hati dan mempunyai kelemahan yang menghalangnya bersikap tegas kepada kawan dan lawan. Itu pun dianggap oleh Rasulullah S.A.W apatah lagi orang yang kalah di hadapan nafsu, jahil dan tidak beramal.

Rasulullah S.A.W juga menetapkan dasar bahawa pemimpin itu tidak diberikan kepada orang tidak berkelayakan yang meminta atau berusaha dengan tipu daya supaya dia dijadikan pemimpin, kerana sikap seperti itu akan menjadikan pemimpin itu satu rebutan dan lahir kegiatan serta pengaruh-mempengaruhi yang menyebabkan pertimbangan yang betul untuk lantikan menjadi kacau bilau dan menyeleweng. Oleh itu lantikan itu hendaklah dijalankan dengan pertimbangan yang objektif dan dengan hasrat yang bersih dan suci.

Justeru dalam kepimpinan sesebuah negara, tegak atau robohnya sesebuah negara, maju atau mundurnya peradaban manusia, timbul atau tenggelamnya sesuatu bangsa adalah bergantung kepada baik atau buruk pentadbiran dan kepimpinan yang dimiliki, Para pemimpin atau ketua yang telah dilantik hendaklah melantik pembantu-pembantu yang jujur dan berkebolehan. Tanda-tanda kejujurannya ialah sentiasa bersikap beriman dan tidak mengampu sehingga membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Apabila Allah S.W.T menghendaki seseorang ketua itu menjadi ketua yang baik, ia akan jadikan pembantunya itu bersikap benar. Jika ia lupa ( lupa kepada Allah dan menyeleweng dari kebenaran ) ia mengingatkannya. Jika ia tidak lupa, ia memberi pertolongan dan bantuan kepada ketuanya itu. Jika Allah menghendaki ketua itu menjadi ketua yang lain daripada itu, dijadikan pembantunya seorang yang jahat, jika ia lupa tidak diingatkanya dan jika ia ingat tidak dibantunya” ( diriwayatkan oleh Abu Daud ).

Oleh kerana tugas pemimpin itu berat dan luas, maka ganjaran baik yang disediakan untuk pemimpin di akhirat yang menjalankan kewajipannya adalah besar. Dianatara tujuh orang yang disebut oleh Rasulullah S.A.W yang akan mendapat perlindungan Allah ialah pemerintah yang adil yang diletakkan di senarai yang pertama. Sebaliknya mereka yang menjadi pemimpin sedangkan dia tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan yang selayaknya dan tidak menjalankan kewajipannya maka ia akan menerima balasan yang pedih.Seksaan Allah bertambah berat lagi bagi sesiapa yang menjadikan kedudukannya sebagai pemimpin sebagai jalan untuk kepentingan dirinya dan menipu orang-orang yang dipimpinnya.

Oleh kerana tugas pemimpin adalah besar dan tugas itu tidak dapat dijalankan melainkan dari kerjasama orang yang dipimpinnya maka Allah menentukan supaya orang yang dipimpin itu hendaklah mematuhi ketuanya di dalam semua suruhan yang disukai atau tidak kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan melanggar hukum-hukum Allah.

RASULULLAH PEMIMPIN AGUNG

0 comments:

Post a Comment