Friday, June 11, 2010

RMK 10


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima teras strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.
Bagi menuju ke arah itu, Perdana Menteri berkata Malaysia perlu merangka pendekatan baru yang mengutamakan modal insan berkualiti, inovasi dan kreativiti serta kerajaan bertindak umpama sebuah syarikat yang berdaya saing. Ketika membentangkan RMKe-10 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada struktur kos rendah untuk berdaya saing memandangkan arus globalisasi dan liberalisasi mewujudkan persaingan sengit dengan negara seperti China, India, Brazil, Rusia malah negara jiran.

eras pertama, kata Najib ialah menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Prestasi Petunjuk Utama (KPI).

Kedua ialah dengan mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi manakala teras ketiga dengan menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Teras keempat dan kelima ialah membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia serta mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.
RMKe-10 bertemakan "Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial", memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun berkenaan.

Dalam pembentangan yang mengambil masa kira-kira satu jam 40 minit itu, Najib berkata bagi mentransformasikan negara ke arah mencapai Wawasan 2020, RMKe-10 digagaskan daripada 10 idea, antaranya memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

Selain itu ialah dengan menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi, memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul serta menjadikan kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata RMKe-10 dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan.

Dalam rancangan itu, beliau berkata Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada RM38,850 atau US$12,140 pada tahun 2015.

"Ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar enam peratus setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi serta penyerapan kaedah ICTm bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan," katanya.

Najib berkata dalam RMK-10, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran serta keupayaan inovasi yang lebih mantap.

Dalam pada itu, katanya peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus berbanding 21.8 peratus dalam RMKe-9.

"Tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata pendekatan itu juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran.

"Menyokong hasrat ini, kerajaan akan menyumbar pelaksanaan perolehan perkhidmatan kepada sektor swasta. Maksudnya sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif," katanya.

Perdana Menteri berkata RMKe-10 juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan Bumiputera merupakan bilangan terbesar iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan itu.

Katanya sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimal, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan penyelewengan pasaran dan penyelewengan.

"Bagaimanapun, keputusan pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat.

"Di atas segalanya, saya memberi jaminan dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing," katanya.

Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA "Greater Kuala Lumpur", beliau berkata kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega "Mass Rapid Transit" berkapasiti tinggi.

Beliau percaya projek itu adalah satu lagi ikon kepada ibu negara Malaysia dan akan memberi impak yang meluas dan meliputi rangkaian perniagaan berkaitan.

"Apabila siap kelak, sistem yang bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20km dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih kurang 150km yang membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini," katanya.

Perdana Menteri berkata agenda pembangunan Bumiputera akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan dalam rancangan berkenaan.

Najib berkata mulai RMKe-10, pelaksanaan program dan projek secara pelan berpusingan akan diperkenalkan.

Melalui pendekatan itu, beliau berkata peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2011-2012.
Beliau berkata pendekatan itu membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global.

"Senarai terperinci program dan projek bagi pelan pusingan pertama ini akan dikeluarkan pada akhir Ogos 2010. Bagi melaksanakan program pembangunan RMK-10, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

"Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan lima peratus kepada sektor pentadbiran am," katanya.

Dengan merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, Perdana Menteri berkata rakyat negara ini bolehlah mengiaskan kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

"Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan.

"Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang malahan boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya.

"Bagaimana hebat pun pemain secara individu namun mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan. Oleh itu, setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensina bagi mencapai kejayaan," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment